Wednesday, September 17, 2008

Bukan zaman sorok kekasih -Petikan HIP Berita Harian

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serimah@bharian.com.my


Adam

DALAM usia 25 tahun, Mohd Aizam Mat Saman atau Adam sudah menyimpan hasrat untuk berumahtangga. Namun memandangkan masih banyak lagi hasrat yang belum dipenuhi menyebabkan jejaka dari Sabah itu memilih untuk menamatkan zaman bujangnya dalam tempoh tiga tahun.

Apatah lagi si kekasih hati nan jelita masih muda, menjadi salah satu sebab kenapa dia harus menanti selama itu. Umum mengetahui, jejaka itu tidak lagi bermain tarik tali kisah cintanya. Empat tahun dalam dunia seni banyak mematangkan penyanyi yang dilahirkan daripada program realiti Akademi Fantasia 2.

Dia pernah merahsiakan percintaan selama dua tahun bersama pengacara dan pelakon berwajah Pan Asia, Juliana Evans. Tetapi setelah difikir kembali, tiada guna dia merahsiakan perkara yang baik. Peminat juga semakin terbuka dengan status artis menyebabkan dia berasa yakin untuk mendedahkan kisah cintanya kepada umum.

Peminat yang rapat dengan Adam juga merestui percintaannya dengan gadis bernama ‘A’ itu, malah mereka meminta agar hati wanita itu tidak disakiti.

Tiga tahun menanti untuk ke jenjang pelamin, satu jangka masa yang lama. Sengaja mahu menyelami perasaan jejaka itu tidakkah dia khuatir perhubungan yang mekar berkembang bakal dilanda ombak dan badai? Jejaka itu mengakui, sekali sekala tidak dinafikan perasaan itu timbul.

“Tentulah ada ketika saya bimbang dengan perhubungan jangka panjang. Cuma saya berharap semoga A tidak berubah hati,” katanya sambil mengerling gadis manis di sisinya.

Buat pertama kalinya Adam membawa kekasih hatinya itu ke sesi fotografi. Dia membawa A sekali kerana mereka baru selesai urusan di tempat lain, namun Adam meminta supaya gambar A tidak dirakamkan atas sebab tertentu.

“Zaman sekarang bukan lagi zaman untuk menyorokkan kekasih. Lagipun apabila main sorok-sorok kita sendiri yang merana, jadi lebih baik berterus terang saja. Peminat sekarang pun sudah boleh menerima apa saja status artis kegemaran mereka, malah ada juga peminat yang mendoakan semoga jodoh kami dipercepatkan.

“Ibu bapa saya juga sangat terbuka. Mereka tidak kisah siapa pun pilihan saya, asalkan saya gembira dan bahagia,” kata Adam.

Pendedahan Adam bahawa hatinya kini sudah dimiliki setidak-tidaknya menepis spekulasi yang pernah mengaitkannya dengan aktiviti homoseksual.

Kekasih hati yang berada di sisinya turut tertawa bersama apabila soalan itu sekali lagi diajukan kepada Adam. Mengenali Adam dalam tempoh yang lama, katanya dia hanya mampu tertawa saat membaca cerita mengenai Adam. Adam pula semakin lali dengan cerita tidak benar mengenai dirinya.

“Maaf saya bukan hendak mengangkat diri sendiri tetapi mana-mana artis yang berwajah comel dan macho sentiasa diduga dengan perkara seperti itu. Bagi saya perkara itu adalah lumrah apabila bergelar artis,” katanya.

Adam teruskan konsep dance music

DI antara peserta awal AF, nama Adam masih lagi relevan sehingga kini. Barangkali menyertai KRU Music Group membawa tuah kepada jejaka ini. Baru-baru ini, Adam meluncurkan album ketiganya yang berjudul Adam 3.

Album berkonsepkan pop tronik itu masih lagi mengekalkan genre dance music. Di tanya sampai bila dia akan terus memilih genre muzik sebegitu, kata Adam selagi masih muda, dia akan terus memilih konsep begitu. Sementelah tidak ramai artis yang memilih konsep sebegitu menyebabkan dia yakin dan selesa dengan genre itu.

Adam 3 memuatkan sebanyak 10 buah lagu baru. Bagaimanapun kali ini Adam mencuba nasib mencipta tiga buah lagu iaitu Terima Kasih, Putus dan Tinggal Kenangan. Sementara itu lagu lain yang turut termuat di dalam albumnya ialah Robot, Tukang Gempak, Benar-Benar, Anganku Melayang dan banyak lagi.

Selepas lebih empat tahun, barulah Adam berpeluang membuat mini showcase. Dalam persembahan mini yang diadakan di Kelab C18 itu, Adam mendendangkan sebanyak lima buah lagu daripada album terbarunya.

Hampir 100 peminat memenuhi ruang kelab C18 itu untuk melihatkan persembahan bertenaga dari Adam. Ia secara tidak langsung mengembalikan kenangan terhadap zaman kegemilangan KRU dulu, cuma bezanya angka peminat dulu lebih ramai daripada peminat yang menghadiri persembahan Adam.

“Selepas lebih empat tahun, inilah kali pertama saya diberi peluang untuk mengadakan persembahan seperti ini. Saya terharu dengan sokongan dan kehadiran peminat untuk menyaksikan persembahan saya ini,” katanya.

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez