Tuesday, October 14, 2008

Konseer Mini ADAM-Harian Metro 14/10

Konsert mini Adam

Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Rap
TERNYATA penyertaannya dalam Akademi Fantasia musim kedua (AF2) lima tahun lalu percaturan tepat dibuat Mohd Aizam Mat Saman atau Adam. Malah, sejak program realiti TV popular di Astro itu berakhir, nama Adam semakin dikenali ramai.

Bahkan, selain bergelar penyanyi di bawah naungan KRU Music, anak kelahiran Inanam, Kota Kinabalu, Sabah ini turut aktif berlakon. Selain filem, Adam juga berlakon drama dan jika tiada aral dia akan sibuk di lokasi penggambaran pada November nanti.

Adam berkata, filem terakhir lakonannya adalah Diva, manakala drama pula, Pria. Itu pun, penggambaran Pria berakhir awal tahun dan dia sibuk dengan proses penghasilan album ketiga, Adam 3 yang dipasarkan Julai lalu.

"Bagaimanapun, saya sudah menerima skrip untuk drama terbaru ini. Apa yang pasti, ia bertemakan 'superhero' tetapi saya tidak dapat menjelaskannya secara lanjut. Ini kerana ia masih dalam perbincangan dan tidak elok rasanya jika diuar-uarkan dulu.

"Bukan sengaja hendak berahsia, namun saya risau kalau dihebahkan nanti tidak menjadi pula. Cuma, saya seronok untuk kembali ke lokasi penggambaran. Tidak kisah filem atau drama, yang penting skripnya bagus dan karakter yang sesuai," katanya.

Menyentuh sambutan album, pemuda berusia 25 tahun ini berkata, sambutan agak menggalakkan. Akuinya, dalam kemelut yang melanda pasaran album tempatan kini, sukar untuknya meletakkan harapan tinggi.

"Apa yang boleh dikatakan, kira-kira 1,000 unit edisi istimewa dikeluarkan khas untuk peminat habis dijual. Melihatkan penjualan itu, saya puas hati berikutan promosi album ketiga ini pun masih dijalankan dengan aktiviti dirancang.

"Antaranya, saya akan terbabit dengan perancangan persembahan konsert mini di seluruh negara. Bahkan, jika berjalan lancar, kemungkinan bermula di Labuan, Sabah pada Disember ini. Namun, permit sudah diperoleh dan hanya menunggu kelulusan pihak berkuasa seperti polis dan bomba," katanya.

Adam yang pernah popular dengan lagu Tak Tahu dan Joget Lambak berkata mengikut apa yang diketahuinya, persembahan konsert mini di Labuan itu boleh menampung kira-kira 3,000 pengunjung.

Katanya, dia sudah bersedia menghiburkan peminat.





Selain persiapan untuk konsert mini itu, Adam juga berbesar hati terbabit menjayakan program Zoom-In di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 19 Oktober ini.

Akui Adam, dia akan menyanyikan kira-kira 11 lagu popular di hadapan penonton.

Menyentuh soal kontrak bersama KRU Music, pemenang tempat ketiga AF2 itu berkata, buat masa ini dia bersyukur 'jodoh' dan rezeki masih panjang dengan KRU. Menurut pemuda Bajau ini lagi, KRU adalah tulang belakang pemangkin kejayaannya.

"Selama terbabit dalam bidang seni, tidak dinafikan kejayaan saya raih hari ini semuanya atas bantuan KRU. Mereka yang memajukan karier saya dan itulah namanya tuah. Saya amat berterima kasih dan begitu juga pada peminat yang sentiasa menyokong," katanya.

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez