Tuesday, March 17, 2009

ABPBH 2008: Kenangan indah di Terengganu

ABPBH 2008: Kenangan indah di Terengganu

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my




Lawatan ke Taman Tamadun Islam tinggalkan kenangan manis kepada rombongan ABPBH 2008

SIRI jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Kuala Terengganu, hujung minggu lalu memberi pengalaman yang cukup indah buat finalis ABPBH apabila bukan saja diberi peluang beramah mesra dan menghiburkan peminat, tetapi juga berkesempatan untuk membuat lawatan di lokasi tumpuan pelancong di negeri itu.

Memandangkan acara promosi ini mendapat kerjasama sangat baik daripada Kerajaan Negeri Terengganu, maka satu daripada atur cara yang disediakan berkait rapat dengan aktiviti pelancongan. Kali ini, rombongan ABPBH 2008 yang mengandungi 30 orang ini di beri kesempatan untuk melawat Taman Tamadun Islam yang terletak di Pulau Wan Man.



Perasaan teruja menjelma sebaik saja melihat bas antik sudah sedia menunggu di depan penginapan rombongan ini iaitu di Sumai Suite Hotel. Uniknya bas ini, bukan saja dari segi warna yang agak berbeza daripada warna bas sedia ada, tetapi reka bentuknya yang unik iaitu dari segi hiasan hinggalah tempat duduknya yang kelihatan seperti bangku di taman membuatkan ramai terpegun

Sambil diiringi polis trafik, bas antik ini meluncur menuju ke Jeti Shahbandar, untuk menaiki gondola pula iaitu bot yang akan membawa pengunjung ke Taman Tamadun Islam. Perjalanan yang mengambil masa hampir setengah jam itu cukup menyeronokkan kerana penumpang berpeluang melihat keindahan bandar Kuala Terengganu dari aras laut serta kejernihan air menandakan ia masih belum tercemar.

Dari jauh lagi sudah kelihatan, Masjid Kristal yang menjadi kemegahan penduduk di negeri Darul Iman ini, selain Masjid Terapung. Bersebelahan Masjid Kristal itulah terletaknya Taman Taman Tamadun Islam yang kaya dengan hasil kesenian Islam, sejarah dan

ROMBONGAN artis menaiki trem melawat Taman Tamadun Islam.

budaya.

Sebaik saja sampai di Jeti Tokku Paloh, rombongan ABPBH dibawa menaiki tram untuk melihat persekitaran taman itu yang dipenuhi dengan 21 monumen Islam yang terkenal di seluruh dunia antaranya Masjid Negara, Masjidil Haram, Makkah, Taj Mahal serta Masjid Nabawi di Madinah sambil diberi penerangan mengenai monumen itu menerusi rakaman suara.

Cukup mengagumkan kerana bukan mudah untuk menyaksikan monumen asal memandangkan kebanyakannya berada di luar negara. Usaha

ini sewajarnya diberi pujian kerana secara tidak langsung ia mendekatkan pengunjung dengan keindahan seni bina Islam yang tidak ternilai itu.

MENAIKI gondola untuk ke Taman Tamadun Islam.

Memang tidak sia-sia mereka yang menyertai rombongan ABPBH kali ini dibawa berkunjung ke tempat yang bukan saja mampu merapatkan silaturahim sesama mereka, tetapi juga menambahkan ilmu pengetahuan mengenai sejarah dan seni bina Islam.

"Selalu bila ada roadshow, artis lepas selesai tugas akan lepak dalam bilik tak buat apa-apa. Tetapi dengan adanya lawatan seperti

ini, masa kita akan terisi dengan kegiatan yang berfaedah. Bukan saja seronok kerana berpeluang melawat tempat bersejarah

beramai-ramai tetapi juga mendapat ilmu yang berguna," ujar Adam yang cukup seronok dengan sesi lawatan itu.

Kesempatan melawat Taman Tamadun Islam itu juga berjaya menerbitkan perasaan teruja kepada pemenang tempat ketiga program

realiti Akademi Fantasia, Nubhan. Selain membangkitkan nostalgia, Nubhan berkata aktiviti seperti ini perlu dijadikan acara wajib untuk setiap siri jelajah promosi ABPBH.

"Ini kali kedua, saya datang ke Terengganu. Sebelum ini saya datang untuk buat klip video lagu Ada Untukmu iaitu pada tahun

lalu. Kali ini, saya datang untuk menyanyi depan peminat. Cuma kedatangan kali ini lebih menyeronokkan kerana ada peluang

untuk jalan-jalan bersama rakan artis lain.

"Pada saya, biarlah aktiviti ini diteruskan dari masa ke semasa. Lagi pun, ABPBH sudah dimasukkan dalam kalendar pelancongan

maka secara tidak langsung, ia sudah mendapat pengiktirafan kerajaan negeri,” kata jejaka dari Kuala Pilah ini.

Turut terpesona dengan sesi lawatan ini adalah pelakon yang dicalonkan dalam kategori Artis Komedi Wanita Popular iaitu

Kenchana dewi.

"Ini adalah pengalaman istimewa kerana bukan mudah untuk orang seperti saya mengunjungi tempat begini. Apa yang pasti, saya

rasa kagum melihat keunikan 21 monumen ini yang belum pernah saya saksikan sebelum ini," katanya.

Bagi pelakon Sheila Mambo pula, dia berharap aktiviti yang membabitkan finalis pada masa akan datang akan lebih dikembangkan

mengikut lokasi kunjungan.

"Sebagai contoh, mungkin kita boleh buat lawatan ke tempat menenun songket, kilang memproses keropok lekor atau apa saja

yang berkaitan dengan aktiviti pelancongan di sesebuah negeri itu. Pasti menarik," kata pelakon yang semakin hangat menerusi drama

Mertua vs Menantu ini.

Selain membuat lawatan, rombongan ini juga dibawa menonton tayangan video secara ringkas mengenai perjuangan Rasulullah SAW

serta kisah batu tergantung seperti yang diriwayatkan menerusi peristiwa Israk dan Mikraj.

Selepas menikmati jamuan ringan, rombongan meneruskan perjalanan ke Mydin Mall yang menjadi lokasi utama siri jelajah promosi

ABPBH 2008.

Taman

Tamadun Islam


Waktu operasi: 9 pagi hingga 7 malam

Hujung Minggu: Jumaat, Sabtu, Ahad, cuti sekolah dan cuti umum

10 pagi hingga 7 malam Isnin, Rabu dan Khamis (Selasa tutup, kecuali cuti sekolah dan cuti umum)

Harga tiket:

Dewasa: RM10

Kanak-kanak 7 - 12 tahun: RM5

Kanak-kanak 6 tahun ke bawah: Percuma

Warga emas 60 tahun ke atas: RM5

Bagaimana menuju ke sana:

  • Perkhidmatan bas shuttle dari Kuala Terengganu jam 6 pagi hingga 10 malam setiap hari. Tambang RM2.

  • Lokasi mengambil penumpang iaitu di Taman Shahbandar. Teksi air atau penambang yang berlepas dari Jeti Shahbandar
  • No comments:

     
    Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez