Wednesday, March 11, 2009

Adam Pikul Tugas Pengarah- Utusan Malaysia

Adam pikul tugas pengarah


ADAM


PEMILIK nama Mohd. Aizam Mat Saman atau lebih dikenali sebagai Adam merupakan antara bekas pelajar Akademi Fantasia (AF2) yang masih berupaya mengekalkan populariti serta bertahan dalam perjalanan dunia seni tanah air.

Lahir menerusi AF musim kedua (AF2), karier Adam sebagai anak seni amat bernasib baik jika dibandingkan dengan beberapa pelajar lain yang ada sebahagiannya kian menyepi.

Bernaung sebagai artis KRU, jejaka kacak kelahiran Sabah ini sudah pun mempunyai tiga koleksi album iaitu Tak Tahu (2005), Adam II (2007) dan Adam 3 (2008).

Tidak cukup di bidang nyanyian, Adam juga mencuba nasib bergelar pelakon dan telah pun membintangi tiga buah filem iaitu Main-Main Cinta, Diva dan Cinta Fotokopi.

Terbaru, Adam ditawarkan berlakon dalam filem Dimensi Cinta arahan Eddie Pak dan memegang watak sebagai 'ketua' penari hip hop bernama As.

Selain Adam, turut sama berlakon dalam filem yang berlatarkan kisah benar itu adalah Catriona Ross, Fahrin Ahmad, Eman Manan, Awie, dan Zarina AF2.

Namun begitu, kehadiran Adam selaku pelakon memberikan peluang kepadanya mempelajari selok belok dunia lakonan bagi merealisasikan impiannya untuk duduk di kerusi pengarah.

Apatah lagi, Adam sudah pun berjinak-jinak dalam penghasilan sebuah telemovie berjudul Wira Malam melalui produksinya, Cuiro Communication.

"Ini sebagai permulaan. Produksi ini adalah produksi usahasama saya bersama seorang bapa saudara saya.

"Saya akan mengarahkan telemovie ini di samping berlakon sebagai watak utama. Penggambaran akan dimulakan April ini,'' katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Dimensi Cinta di Bukit Kiara Equestrian Resort, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Adam, Wira Malam memaparkan kisah kepahlawanan seorang wira yang mahir dalam penggunaan senjata nunchaku.

"Bajet untuk telemovie ini sekitar puluhan ribu sahaja. Saya sudah pun berlatih menggunakan nunchaku.

"Sebenarnya, saya sudah lama mengidam watak hero. Disebabkan tidak ada tawaran, saya hasilkan sendiri telemovie ini.

"Untuk Wira Malam, watak hero mempunyai kostum khas bagi memperlihatkan imejnya selaku pahlawan,"ujar Adam.

Jelasnya, bertindak selaku pengarah dan pelakon, dia akan turut dibantu oleh seorang penolong pengarah yang berpengalaman.

Ditanya tentang tahap keyakinannya menjalankan tugas sebagai pengarah, Adam berkata, dirinya sudah pun bersedia untuk ke arah itu.

"Saya sudah bersedia dan insya-Allah saya rasa sudah memperoleh ilmu yang cukup untuk menjadi pengarah.

"Andai berjaya, ada cadangan agar telemovie ini difilemkan,'' katanya.

Sementara itu, menceritakan tentang pembabitannya dalam Dimensi Cinta, ujar Adam, dia memegang watak pemuda nakal yang suka membuli sekumpulan penari shuffle.

Katanya, dia menerima tawaran berlakon kerana filem ini menampilkan muzik dan tarian hip hop yang begitu dekat di hatinya.

Banyak belajar daripada KRU

Dalam pada itu, selain Cuiro Communication, Adam turut mengendalikan sebuah lagi syarikat bernama Aico Entertainment yang mengkhusus kepada bidang muzik.

Buat masa ini, kata Adam, Aico yang ditubuhkan pada tahun lalu menguruskan sebuah kumpulan bernama Bad Boys.

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez