Monday, March 16, 2009

Meriah dalam hujan

Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my




Kemunculan calon akhir ABPBH 2008 tetap ditunggu peminat yang tidak mahu lepas peluang mendekati artis pujaan

HUJAN yang membasahi bumi Kuala Terengganu petang kelmarin nyata bukanlah satu penghalang kepada lebih 5,000 warga negeri itu

untuk sama-sama berhibur di siri jelajah promosi Anugerah Bintang popular Berita Harian (ABPBH) 2008 yang diadakan di pekarangan tempat meletak kereta, pusat beli-belah Mydin Mall.


Kesetiaan mereka untuk menyokong calon akhir ABPBH 2008 terbukti apabila mereka sedikitpun tidak berganjak dari tempat masing-masing

walaupun hujan semakin lebat. Biarpun dalam keadaan basah kuyup dan terpaksa bersesak-sesak, namun semua kesukaran itu sabar dilalui asalkan hasrat untuk bertemu calon akhir yang selama ini hanya dapat disaksikan menerusi TV menjadi kenyataan.

Sebaik saja pengangkutan rasmi ABPBH 2008, Sinarmas Travel & Tours Sdn Bhd berhenti di belakang pentas utama, sudah kelihatan masing-masing sudah bersedia dengan kamera dan telefon bimbit di tangan untuk merakamkan wajah artis kesayangan mereka.

WAN Abdul Hakim (tiga dari kiri) melepaskan belon tanda pelancaran siri jelajah AB PBH 2008 di Kuala Terengganu.

Keresahan menanti bertukar menjadi girang dan senyuman tak henti-henti terukir di wajah mereka apabila insan yang dinanti kini menjelma di depan mata. Lebih menggembirakan apabila barisan calon akhir seperti Diana Danielle, Adam, Riz, Ayu OIAM, Nubhan, Kenchana Dewi,

Fabulous Cats, Faizal Ismail, Sheila Mambo dan Zizan Raja Lawak begitu mesra melayan kerenah mereka.

Kesempatan lebih setengah jam sementara menanti upacara perasmian dilakukan digunakan sepenuhnya peminat untuk bergambar kenangan bersama artis pujaan mereka yang dilakukan di gerai Berita harian yang lokasinya tidak jauh dari pentas utama.

Walau terpaksa membayar RM10 ringgit untuk sekeping gambar, namun sambutan yang diterima amat menggalakkan kerana mereka tahu

FABULOUS CATS sanggup bermain hujan demi peminat.

nilai itu takkan sama dengan pengalaman berharga yang dilalui tidak sampai beberapa saat itu.

Kira-kira jam 2.15 petang, sebaik saja tali yang mengikat belon dipotong oleh Timbalan Pengerusi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri, Wan Abd Hakim Tan Sri Wan Mokhtar, maka secara rasminya bermulalah siri jelajah promosi di lokasi yang mendapat jolokan negeri cantik, budaya menarik ini.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Wan Abd Hakim berkata, siri jelajah promosi ABPBH di Terengganu akan dimasukkan ke dalam

kalendar pelancongan negeri kerana pihaknya percaya industri hiburan juga mampu memberi pulangan serta menjadi pemangkin

kepada industri pelancongan di negeri itu.

Hadir sama menyaksikan acara itu adalah Pengarang kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail serta wakil penaja.

Selepas acara perasmian, pentas sederhana besar itu terus digamatkan dengan persembahan artis. Membuka tirai persembahan adalah dua bintang realiti, Adam dan Riz.

Persembahan seterusnya semakin meriah dengan kemunculan penyampai radio Hot FM, Faizal Ismail dan Zizan. Ia menjadi semakin hangat dengan persembahan daripada anak jati Kuala Terengganu, Aiman.

Walaupun mengakui pemalu dan gugup kerana membuat persembahan di kampung kelahiran sendiri, Aiman yang cukup popular dengan lagu Dusta Berkalang ini berjaya melunaskan tanggungjawabnya itu dengan baik.

Fabulous Cats sanggup basah

PERSEMBAHAN pada petang itu bukan saja diserikan dengan acara nyanyian, tetapi turut diselitkan persembahan lawak jenaka yang

datangnya daripada calon akhir ABPBH 2008 dari bidang lakonan. Acara sketsa yang dilakukan oleh pelakon remaja jelita, Diana Danielle, Kenchana Dewi dan Sheila Mambo berjaya mengundang hilai tawa penonton dengan telatah lucu mereka.

Ada saja idea kreatif mereka untuk mengenakan peminat yang tampil ke atas pentas semata-mata kerana ingin memenangi hadiah

yang ditawarkan. Yang penting, pengunjung yang hadir cukup sporting dan tak kisah apabila mereka 'disakat' oleh tiga

pelakon tadi.

Sebagai hadiah kepada sesi soal jawab yang diadakan bersama penonton, mereka yang bertuah berpeluang menaiki kenderaan bersama

artis yang mereka ingini. Walaupun sekadar meronda-ronda di persekitaran kawasan pusat beli-belah itu namun tidak semua

berpeluang menikmati situasi seperti itu apatah lagi apabila diri ditemani artis kesayangan.

Sebagai kenangan, sempat juga Diana, Riz, Adam, Farhana dan Wangi dari kumpulan Fabulous Cats bergambar kenangan di sisi kereta

Nissan Grand Livina bernilai RM94,000 1.8L khusus untuk pembaca bertuah, selain kereta Nissan Sylphy 2.0L berharga RM109,000

yang menjadi hadiah untuk Bintang Paling Popular.

Cuaca dingin bertukar hangat apabila kumpulan yang popular dengan lagu Papa Jahat iaitu Fabulous Cats sanggup turun dari pentas dan bermain hujan semata-mata kerana ingin melihat persembahan petang itu lebih meriah. Nyata strategi mereka itu berjaya apabila penonton memberi reaksi positif apabila turut sama berganjak ke depan pentas semata-mata kerana ingin menari dan menyanyi bersama mereka.

"Tujuan kami ke sini untuk menghiburkan dan dekat dengan mereka. Jadi saya beranikan diri untuk turun dari pentas walaupun hujan. Selepas melihat reaksi yang baik daripada penonton, saya minta tiga anggota lain bersama-sama kami menyanyi dan menari dalam hujan.

"Memang menyeronokkan dan kami puas hati," kata jurucakap kumpulan ini iaitu Cat Farish. Mereka menyanyikan lagu Bawaku Terbang, Slot Akasia serta lagu popular mereka, Papa Jahat.

Turut menghiburkan penonton dengan vokal mantapnya adalah juara One in A Million musim kedua, Ayu Damit menerusi lagu Hanya di Mercu serta Ku Peluk Dunia. Dicalonkan dalam kategori Artis baru Wanita Popular, Ayu akui pengalaman membuat persembahan di Kuala Terengganu, cukup mengujakan.

"Ini kali pertama saya ke Kuala Terengganu. Melihat sambutan ini, Ayu seronok dan kalau diberi peluang, pasti akan datang lagi ke sini dan ikut serta dalam mana-mana siri promosi selepas ini," kata gadis yang berasal dari Sabah ini.

Sebagai penutup persembahan, Adam sekali lagi ditampilkan di atas pentas. Tidak dapat dinafikan, keupayaan anak muda ini cukup terserlah lebih-lebih lagi apabila dia membawakan lagu rancak, Robot sambil diiringi penari. Ternyata dia ada gaya tersendiri dan tidak hairanlah andai dia masih lagi dicalonkan untuk ABPBH walaupun sudah empat tahun jejaka ini keluar dari sarang Akademi Fantasia.

Selepas acara tamat, semua artis dan kru ABPBH dijamu dengan nasi minyak yang lazat tajaan Mydin Mall. Walaupun penat, tergambar kepuasan pada wajah masing-masing kerana misi mereka iaitu menghiburkan peminat dengan lebih dekat, berjaya.

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez