Saturday, April 11, 2009

Dimensi Cinta - Harian Metro

BORAK LOKASI: Ibu tunggal bentuk empayar niaga
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
BEBERAPA bilik dan kawasan sekitar Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya yang baru saja beroperasi bertukar menjadi kolej swasta yang juga tempat Hanif (Chaq), Roy (Adam AF), Baby (Memey) dan Lydia (Zarina AF) menuntut dalam jurusan seni yang mereka minati.

Malah, grand ballroom hotel juga berubah menjadi studio tarian untuk Hanif dan Roy bertanding sesama sendiri bagi menunjukkan tarian siapa lebih hebat, shuffle atau hip hop?

Itulah antara paparan menarik dalam filem Dimensi Cinta arahan Eddie Pak atau Mohd Aliff Najmi Abdullah terbitan Harian Inovatif Sdn Bhd dengan kerjasama Sunday To Sunday Service Sdn Bhd.

Ketika wartawan Rap sampai ke lokasi penggambaran Dimensi Cinta, Eddie sibuk menyiapkan babak Baby yang merajuk dan cuba dipujuk Chaq yang juga teman lelakinya. Namun, Baby tidak melayannya dan mengambil peluang untuk bermanja dengan Chaq.

Dalam babak lain, Lydia pula cuba merapati Chaq kerana dia berminat mempelajari tarian shuffle kerana teman lelakinya Roy adalah anggota kumpulan Hip Hop.

Sejak awal pagi lagi, Eddie begitu teliti bekerja dan berjaya menyiapkan empat babak menarik sepanjang sehari suntuk penggambaran Dimensi Cinta.

Kata Eddie, penggambaran filem membabitkan bajet sekitar RM1.8 juta itu dimulakan sejak 3 Mac dan berakhir 21 Mac lalu di sekitar Putrajaya dan Lembah Klang.

“Hotel Pullman Lakeside Putrajaya dipilih sebagai lokasi kolej kerana ia sesuai dengan jalan cerita dan hotel itu juga penaja utama lokasi sepanjang dua minggu penggambaran filem berkenaan,” katanya.

Dimensi Cinta mengisahkan perjuangan wanita kelas atasan, Raja Soffhilea (Soffhie), berstatus ibu tunggal empat anak iaitu Hanif, Hafis, Hairul dan Misha untuk bangkit kembali membina empayar perniagaannya selepas keruntuhan rumah tangganya.

Selepas bercerai dengan suami, Redhuan, Raja Soffhie berasakan dirinya bebas daripada penderitaan yang menyeksa dia dan anak sehingga meninggalkan kesan fobia dalam menjalani kehidupan harian.





Bagaimanapun, perceraian itu membuatkan Raja Soffhie menjadi wanita lebih kuat dan tabah sehingga dia berjaya membentuk empayar perniagaan dengan bantuan Imran, budak kampung yang ingin menjadi usahawan berjaya.

Akhirnya, bersama rakan kongsinya itu, Raja Soffhie muncul menjadi usahawan wanita berjaya dan menjalankan perniagaan stesen minyak besar-besaran termasuk mengusahakan batik moden untuk pasaran luar negara.

Kesibukan menguruskan perniagaan menyebabkan tumpuan terhadap anak terbatas. Hanif, anak sulung, penuntut kolej yang mempunyai minat mendalam terhadap dunia tarian dan mempunyai studio tarian sendiri yang khusus bagi mereka yang tidak berkemampuan sekali gus mengelakkan remaja daripada melakukan aktiviti tidak berfaedah.

Perkembangan studio itu menjadi buah mulut beberapa kumpulan jalanan lain termasuk Roy, yang sekelas dengannya. Roy cemburu dengan Hanif kerana dia berkawan rapat dengan Baby, gadis cantik di kolej mereka. Roy yang tidak puas hati terhadap hubungan Hanif dan Baby, mencabar Hanif menunjukkan kebolehan tarian masing-masing.



JUDUL: Filem Dimensi Cinta

TERBITAN: Harian Inovatif Sdn Bhd dengan kerjasama Sunday To Sunday Service Sdn Bhd

PENERBIT: Raja Lela

PENERBIT EKSEKUTIF: Cheryl Noneh (Cherylene Lee)

PENULIS SKRIP/IDEA ASAL: Fendi M

PANEL SKRIP: Adam Salleh dan Eman Manan

PENGARAH: Eddie Pak

PENOLONG PENGARAH: Fendi M

PENGURUS PRODUKSI: Na Hashim

SOLEKAN/HIAS: Yuki

PENGURUS PAKAIAN: Hatim Thai

JURUKAMERA: Pengarah Fotografi/Jurukamera: Bee Ho

PENATA AUDIO: Gemerzik

URULAMPU: Gary Kuna

PEMILIHAN PELAKON: Faez Safari

ADUNAN BUNYI: Royce Sa’ayan

PENGARAH KESAN VISUAL: Timo

PENYUNTING ONLINE: Leong W.W

KOMPOSISI DAN REKAAN GRAFIK: Vanessa T

PELAKON UTAMA: Catriona Ross (Raja Soffhilea) Fahrin Ahmad (Imran), Awie (Nazrul), Eman Manan (Redzuan), Adam AF (Roy), Scha Al Yahya (Isaac), Memey (Baby), Zarina AF (Lydia), Chaq ( Haniff), Bob (Coco), Aqeen (Misha) dan Nora (Nora).

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez