Saturday, May 16, 2009

Adam kini bergelar pengarah

Adam kini bergelar pengarah
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
BUAT masa ini fokus dan keutamaan Adam AF2 adalah kepada pembikinan mini album artis di bawah produksinya yang juga anak didiknya, Badboyz yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Mungkin ada yang berpendapat Badboyz tidak dapat lari daripada sentuhan muzik saya.

"Sebenarnya, muzik saya dan Badboyz berlainan, saya lebih kepada 'martial arts dance' dan Badboyz pula pop dan shuffle," katanya.

Sebenarnya, kata Adam, Badboyz adalah kumpulan penari yang mengiringi persembahannya sejak tiga tahun lalu.

"Mereka bukan saja boleh menari, tetapi menyanyi dengan baik. Justeru, apabila melihat bakat besar mereka, saya terus menawarkan mereka menjadi artis syarikat saya pada 2008," katanya.

Mengenai perkembangan kerjaya nyanyiannya pula, Adam berkata, dia akan muncul dengan imej baru sempena kemunculan single barunya, Kau pada pertengahan tahun ini.

"Peminat boleh menyaksikan imej baru saya ini sempena persembahan dalam program Mentor minggu ketiga nanti.

"Apapun, dalam keadaan krisis ekonomi global sekarang, saya perlu mengikut strategi syarikat rakaman sekarang untuk tampil dengan single terlebih dulu sebelum mini album atau album penuh.

"Sebagai penyanyi, saya tetap pastikan sekurang-kurangnya mempunyai album baru setahun sekali, sekali gus memberitahu peminat saya masih aktif dalam bidang seni.

"Saya juga sibuk kumpul material untuk album penuh yang dijangka siap pada penghujung tahun ini," katanya. Pada masa sama, Adam juga melangkah setapak lagi dalam kerjaya seninya apabila dia bergelar pengarah menerusi telefilem, Wira Malam Bisikan Naga.





Telefilem ini adalah projek usahasama produksi Adam dengan satu lagi produksi lain serta disiarkan di saluran Astro Ria pada penghujung Jun ini.

"Sebenarnya, saya sudah lama menanti peluang untuk berlakon dalam filem aksi, tetapi tidak ada tawaran dari mana-mana pihak.

"Justeru, saya memutuskan untuk menerbit dan mengarahkan sendiri cerita aksi ini.

"Pada mulanya, saya ingin terus buat filem, tetapi akhirnya selepas berbincang dengan rakan kongsi, akhirnya saya putuskan untuk buat projek telefilem terlebih dulu.

"Selain saya, telefilem ini dibintangi pelakon Faizal Ishak, Aaron Aziz, Mimi (My Star LG), Along (Raja Lawak) dan Dian P Ramlee," katanya.

Adam berkata, apa yang menarik, dia menampilkan senjata 'Nanchucks' dalam telefilem berkenaan.

"Penggunaan senjata itu adalah sesuatu yang baru dan saya banyak membuat rujukan menerusi filem aksi Hong Kong dan Thailand.

"Sebagai orang baru dalam bidang pengarahan, sudah pasti saya berhadapan dengan cabaran besar kerana menjadi pelakon dan pengarah sekali gus. Namun, saya tidak bersendirian mengarahkan cerita ini kerana dibantu penolong pengarah yang cukup berpengalaman dalam bidang ini," katanya.

Adam ditemui ketika menjayakan sesi fotografi bersama Badboyz di Studio Balai Berita, baru-baru ini.

Sementara itu, sebagai kumpulan baru, Badboyz berharap kehadiran mereka di persada seni diterima peminat muzik tanah air.

Badboyz kini hanya tinggal tiga anggota iaitu Rayndra Jubidi (R'yan), 21, Mailin Antikoh (Marlon), 21, dan Eryandy, 25. Seorang lagi anggota asal kumpulan ini, Chaq pula terpaksa menarik diri daripada Badboyz kerana terbabit dengan program Mentor 3.

Menurut Marlon, ketiadaan Chaq tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mencari tapak di persada seni tanah air.

"Memang ada sedikit perasaan kecewa kerana kami sudah bersama sejak awal lagi. Malah, Chaq juga terbabit dalam rakaman mini album Badboyz sebelum ini.

"Apabila Chaq menarik diri, kami juga terpaksa buat rakaman semula mini album berkenaan yang mengandungi tiga lagu dan satu video klip iaitu single pertama, Pacar Pisau Cukur, Sayangku Janji dan Bila Kau Tiada.

"Tapi sebagai kawan rapat, kami tetap merestui hasratnya untuk keluar dari kumpulan ini kerana kami tidak boleh menyekat rezekinya apabila berjaya memasuki Mentor 3.

"Kami juga tidak bercadang mencari pengganti Chaq kerana yakin kekuatan kami bertiga sudah cukup memantapkan Badboyz. Perjalanan kami juga masih jauh lagi dan kami tetap akan meneruskan visi Badboyz yang masih belum kesampaian," katanya.

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez