Friday, January 29, 2010

Adam menaruh harapan kali ke-4

Adam menaruh harapan kali ke-4
Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my
2010/01/29

TERSENARAI dalam Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH 2009) membuktikan penyanyi yang digilap menerusi program realiti Akademi Fantasia musim ke-2 (AF2), Adam masih bertakhta di hati peminatnya sejak berkecimpung dalam bidang seni, lima tahun lalu.

Malah, Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman yang berasal dari Inanam Laut, Sabah sudah tiga tahun berturut-turut dicalonkan dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular ABPBH.

Bagi kategori Penyanyi Lelaki Popular, menyaksikan Adam bersaing dengan empat lagi finalis iaitu Aizat, Faizal Tahir, Mawi dan Akim.

Adam turut dicalonkan dalam satu lagi kategori iaitu Penyanyi Duo Kumpulan Popular ABPBH 2009 bersama Stacy AF6 menerusi gandingan single duet popular mereka berjudul Menggegar Dunia yang juga lagu runut bunyi filem My Spy.

Kategori ini turut menyaksikan Adam/Stacy bersaing sengit dengan empat lagi finalis - Bunkface, Hujan, Meet Uncle Hussein/Black dan 6th sense.

Ketika dihubungi Rap, Adam yang turut menempa nama sebagai pelakon berkata, dia bersyukur kerana peminat masih setia mengundinya, sekali gus menyokong kerjaya seninya sampai hari ini.

"Saya juga berasa bangga kerana menjadi finalis paling senior dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular ABPBH 2009.

Sebenarnya, sudah tiga tahun berturut-turut saya dicalonkan dalam Top 5 kategori itu, tapi nampaknya saya masih berpeluang memenangi kategori berkenaan.

"Bohonglah, kalau saya tidak menaruh harapan untuk menang pada pencalonan kali ini.

Melihatkan pada persaingan kategori ini, semua finalis hebat belaka seperti Aizat dan Faizal Tahir yang baru menang sempena Anugerah Juara Lagu, baru-baru ini.

"Begitu juga Mawi dan Akim yang tidak kurang hebatnya.

Seperti yang kita lihat, Akim adalah artis baru yang digilai peminat ketika ini.

Jika menang ia adalah rezeki dan jika kalah, saya tidak putus asa dan tetap meneruskan kerjaya seni seperti biasa.

"Sebagai penyanyi, saya pastikan ada produk baru seperti album saban tahun supaya terus diingati peminat dan memberitahu mereka saya masih aktif dalam bidang seni," katanya.


No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez