Saturday, March 27, 2010

Adam @ Klang Parade


TEMUI ADAM DI KLANG PARADE : 28 MAC 2010 (AHAD)

37 Artis di Klang Parade
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
credit : ABP

Siri akhir jelajah ABPBH 2009 paling meriah

SIRI jelajah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 yang keempat, yang bakal diadakan di pusat beli-belah Klang Parade, Klang, dari 26 hingga 28 Mac ini tentunya muncul siri paling meriah apabila 37 artis mengesahkan kehadiran mereka pada acara berkenaan.

Nama besar dalam industri hiburan tempatan seperti Datuk Siti Nurhaliza, Faizal Tahir, Fara Fauzana, Jaclyn Victor, Aizat, Maya Karin, Farid Kamil, Remy Ishak dan Fahrin Ahmad ialah antara penyanyi, pelakon, pengacara televisyen dan penyampai radio yang bakal mendekati peminat pada siri jelajah terakhir untuk ABPBH edisi ke-23 ini.

Calon Top 5 dan selebriti lain yang akan turut menghangatkan pentas pada acara persembahan yang dijadualkan berlangsung pada 2 petang, 28 Mac ialah Faizal Ismail, Sharifah Aleya, Raja Azura, Along Raja Lawak, Meet Uncle Hussain, Black, Saujana, Hijjaz, Adam, Aril, Isma, Hafiz, Liyana Jasmay, Dira Abu Zahar, Fizz Fairuz, Diana Danielle, Nabil, Angah Raja Lawak dan Noorkhiriah.

Tidak ketinggalan memeriahkan acara ialah Zizan, Scha, Tiz Zaqyah, Lisa Surihani, Puteri Mardiana, Nik Sayyidah, Fizo Omar, Didie Alias dan Enot.

Klang Parade muncul destinasi terakhir selepas siri jelajah itu terlebih dulu singgah di Village Mall, Sungai Petani (5 & 6 Mac), Mesra Mall, Kemaman (12 & 13 Mac) dan Plaza Angsana, Johor Bahru (20 & 21). Sempena dengan jelajah ini juga, beberapa outlet di Klang Parade akan membuat potongan jualan sehingga 70 peratus.

Menurut Pengurus Pemasaran dan Promosi, Persatuan Akademi Industri Muzik, Mas Ayie Mas Omar, sekiranya 10,000 peminat menghadiri acara yang diadakan di Johor Bahru, dia menjangkakan sambutan lebih hangat bakal diterima apabila calon calon Top 5 ABPBH 2009 itu muncul di Klang, hujung minggu ini.

Lebih menarik, artis yang bakal menaiki bas rasmi ABPBH2009, Sinar Mas Travel & Tours akan diiringi 20 penunggang motosikal Naza Bikers, yang berkonvoi bersama artis dari ibu pejabat Berita Harian di Bangsar, menerusi laluan Subang Jaya dan Shah Alam, sebelum tiba di Klang.

Pada hari pertama, peminat akan berpeluang menyaksikan gelagat dan bakat peserta pertandingan nyanyian Bintang Idola Berita Harian (BIBH) peringkat saringan bagi kawasan Lembah Klang. Keesokannya, peserta terpilih ke peringkat akhir kawasan terbabit akan bertanding pula pada acara final. Kedua-duanya dilangsungkan pada sebelah pagi.

"Pada 28 Mac, acara final BIBH yang menyaksikan pemenang dari keempat-empat kawasan siri jelajah bersaing merebut gelaran juara mutlak akan diadakan. Pertandingan akhir ini akan diadakan pada sebelah pagi, manakala acara persembahan artis pula dijangka bermula jam 2 petang," katanya.

Sebaik saja acara persembahan bermula, peminat pasti akan terhibur bukan saja dengan persembahan penyanyi popular kesayangan mereka, bahkan peminat juga akan menyaksikan pelbagai gelagat lucu insan terkenal berkenaan apabila mereka mengambil bahagian dalam acara permainan yang disediakan.

Lebih daripada itu, peminat berpeluang berada di pentas bersama-sama mereka, menyertai pelbagai permainan dan kuiz yang dianjurkan. Detik yang datang sekali seumur hidup itu pastinya tidak mahu dilepaskan pembaca Berita Harian dan peminat di kawasan Lembah Klang.

Bagi peminat bertuah pula, pengalaman menaiki kenderaan yang disediakan Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd bersama artis kegemaran tentunya akan tersemat di ingatan. Pengalaman hebat itu mungkin menjadi milik anda sekiranya berkunjung ke Klang Parade pada Ahad ini.

Bukan sekadar peluang mendekati artis serta mengambil bahagian dalam permainan bersama insan terkenal yang dapat dirasai peminat pada siri jelajah ABPBH 2009 di pusat beli-belah itu nanti, malah mereka turut berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah menarik tajaan Jakel, Habib, Nano White, Sinar Mas dan Slimming Sanctuary.

Pengalaman hebat itu pula akan lebih sempurna apabila peminat dapat bergambar bersama penyanyi, pelakon, pengacara televisyen, penyampai radio dan pelawak popular di gerai Berita Harian, yang turut menjual pelbagai cendera hati ABPBH 2009 eksklusif.

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez