Saturday, August 14, 2010

Adam Amanchai - 05/08/10 - Berita Harian


Adam Amanchai
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my
2010/08/05


Sanggup 'diseksa' Mamat Khalid untuk hidupkan watak idaman.

KALI ini bukan Adam. Watak Amachai dalam filem terbarunya Apokalips arahan Mamat Khalid ‘mengeluarkan’ dirinya daripada Adam.

Sememangnya itulah yang dicari oleh anak muda ini. Berbeza dengan filem dan drama lakonannya setakat ini seperti Main Main Cinta dan Diva atau Hotel Mania, watak Amachai dianggap lebih garang.

Tambahan pula Amanchai adalah seorang yang berjiwa memberontak. Tidak senyum. Setiap detik kalau ada kesempatan asyik hendak berlawan saja. Imejnya memang agak gelap dalam dalam filem ini. 

“Watak Amanchai dalam Apokalips adalah watak yang selama ini saya diidamkan. Berbanding filem sebelum ini, Apokalips tidak lagi membawakan diri Adam tetapi ‘orang lain’. 

“Watak saya seperti dalam filem Jepun iaitu Crows Zero yang mana ada satu karakter yang asyik memberontak dan berlawan. Memang itulah yang saya idamkan,” kata Adam ketika ditemui di lokasi penggambaran Apokalips di sekitar rumah pangsa yang sudah dikosongkan di Jalan Pekeliling, Kuala Lumpur. 

“Saya ditawarkan untuk filem oleh Abang Mamat pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2009). Waktu itu saya baru selesai membuat persembahan kerana kebetulan abang Mamat juga datang pada malam kemuncak. 
“Dia tanya saya sama ada berminat atau tidak untuk berlakon filem terbarunya. 
Pada mulanya saya ingatkan watak biasa saja. Selepas diterangkan oleh abang Mamat, saya tidak fikir panjang untuk menerima pelawaannya,” sambung Adam lagi.

Katanya, selain watak yang kasar iaitu sebagai Amachai, dia juga menerima pelawaan berlakon Apokalis kerana atas faktor Mamat Khalid juga yang dikenali sebagai antara pengarah filem terbaik. 

Dalam temu bual ini, Adam kelihatan amat teruja dengan Amachai. Kadang-kadang apabila berbual, dia membayangkan dirinya seperti Takiya Geji lakonan Shun Oguri dalam filem Crows Zero. Filem itu diadaptasi daripada komik manga Jepun karya Hiroshi Takahashi, kemudian diangkat ke layar perak oleh Takashie Miike. 

Ceritanya mengenai Takiya Genji anak lelaki kepada ketua Yakuza, dimasukkan ke Suzuran All-Boys High School. Sebagai pelajar baru, dia sering menjadi mangsa buli pelajar senior diketuai Tamao Serizawa ketika sesi orientasi. Ini menyebabkan Takiya bersama beberapa rakannya membalas dendam sehingga berlaku pergaduhan ganas antara mereka.

“Apabila menonton cerita Crows Zero, saya berangan-angan, kalaulah dapat watak seperti itu, beraksi lasak, berlawan dan bertarung memang bagus. Sebab filem seperti ini yang saya mahu. Memang tak sangka apabila abang Mamat tawarkan saya berlakon watak yang saya impikan dalam filem dia,” jelasnya. 

Adam ternyata amat puas dengan karakter dalam Apokalis. Dia tidak lagi ditonjolkan sebagai lelaki yang macho atau cute dan asyik digandingkan dengan perempuan cantik saja. Dalam filem itu, dia digambarkan sebagai tidak ada masa melayan perempuan. 

“Saya memberontak melawan abang saya (lakonan Farid Kamil). Dia bukanlah abang, tetapi lelaki yang menjaga kami kerana pada waktu itu digambarkan keluarga kami sudah mati kerana letupan bom nuklear. 

“Pada mulanya abang jaga dengan baik, tetapi lama-kelamaan nasib kami macam tidak terbela. Jadi saya bersama adik-adik saya, bangun memberontak mencari kebebasan,” katanya.

Memang watak Amanchai dan filem Apokalips ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Dari segi kekuatan fizikal ini, Adam memerlukan stamina yang mencukupi kerana hampir sepanjang penggambaran ini, perlu beraksi lasak, bertumbuk dan berlawan sehingga mukanya tercalar gara-gara melakonkan aksi pergaduhan. 

“Dari segi mental pula, filem ini memang memenatkan. Sesuatu babak mengambil masa agak panjang untuk dihabiskan kerana saya tahu ada babak yang rumit dan perlu dilakukan beberapa kali untuk kelihatan sempurna. Tapi inilah yang hadapi dari awal.

“Untuk aksi pertarungan, memang ada latihan dilakukan sebelum masuk ke set. Kami diberikan tunjuk ajar mengenai aksi-aksi dalam pertarungan itu dan sendiri sudah ada asas semula jadi dengan kemahiran mempertahankan diri,” katanya.

Meminati aksi mempertahankan diri daripada pelakon Hong Kong, Donnie Yen dalam filem IP Man, Adam mengakui sebenarnya susah untuk menghidupkan watak Amanchai.

“Apabila menerima skrip saya terus mendalami watak itu. Pada peringkat awal, beberapa kali abang Mamat mengatakan Amachai itu masih lagi macam Adam. 

“Pengarah tidak mahu melihat Adam dalam diri Amanchai. Dia tidak mahu lagi ada ‘Adam’ dalam Apokalis tetapi Amachai. Bermula dari sini saya sudah mula merasai tekanannya. Saya jadi takut dan risau kerana pada peringkat ini Mamat tidak puas hati dengan lakonan pertama saya dalam filem mini.

“Akhirnya, saya mendapat bimbingan daripada seorang yang dikenali sebagi Cikgu Lin. Dialah yang memberi tunjuk ajar dan membimbing serta mengenali siapa itu Amachai. Cikgu Lin tidak membuang masa dengan mengajar secara teori, tapi dia terus kepada fakta iaitu menerangkan sedikit siapa itu Amachai dan saya terus buat. Ia nampak mudah dan dari situlah barulah saja ‘temui’ diri Amanchai,” katanya sambil menegaskan tidak serik dengan pelbagai ‘seksaan’ yang dilakukan oleh Mamat Khalid demi memastikan Amachai benar-benar hidup. 


Sinopsis Apokalips

SEJAK mentari terbit dari barat, pertempuran hebat berlaku di seluruh pangea. Jasad bergelimpangan dan udara di seluruh pangea berbaur hemoglobin, selain bintang berguguran. Homo sapian yang mewakili puak-puak yang menguasai empat sumber utama kini bertempur untuk memonopoli, menjadi keadaan anarki. Tiada lagi undang-undang, hanya mereka berpegang pada janji. 

Pendita telah memberi perintah, supaya menjemput semua ‘Pengutus Pesanan’ untuk hadir ke satu taklimat berkaitan apa terjadi di Ground Zero, Apokalips dan penerangan mengenai kejadian letupan nuklear yang telah menyebabkan mentari terbit dari Barat hampir 23 hari lepas. Letupan nuklear yang telah menghamburkan partikel CK (Cyanogen Chloride) ke udara dan membunuh mereka yang berumur 30 tahun ke atas. Keadaan cukup kritikal.

Wahai ‘Pengutus Pesanan’ sekalian, hanya kamu yang mampu menyelamatkan seluruh pangea itu, moga Maha Pencipta merahmati kamu. Dari itu, kamu sekalian ‘Pengutus Pesanan’ dijemput ke sesi maklumat yang akan dihadiri seluruh ketua klan dan pengikut seperti, X lakonan Farid Kamil, Sri Gala (Peter Davis), Kala (Jehan Miskin), Kulat (Zoey Tan), Aman Chai (Adam AF), Qi Qi (Myra), Razor (Iqram Dinzly), Lipan (Pekin Ibrahim). 



No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez