Monday, August 16, 2010

Sinar Harian - Isnin - 16/08/10 - Adam sudah jatuh hati


Adam sudah jatuh hati 

Mohd Aizam Mat Saman atau mesra disapa Adam ini bukan sahaja dikenali sebagai seorang penyanyi yang lahir dari Akademi Fantasia musim kedua. 

Bahkan dia telah beberapa kali menceburkan diri ke layar perak sebagai hero utama dalam beberapa buah filem. 

Namun, itu belum cukup mempamerkan sisi Adam yang sebenarnya gemarkan watak aksi berbanding watak ‘romeo’ yang pernah dilakonkan sebelum ini. 

Kata Adam yang ditemui selepas sidang media dan ramah mesra bersama barisan pelakon Apokalips baru-baru ini, lamaran pengarah tersohor, Mamat Khalid pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH2009) baru-baru ini, ibarat bulan jatuh ke riba. 

“Selama ini saya begitu idamkan watak aksi mempertahankan diri daripada pelakon Hong Kong, Donnie Yen dalam filem IP Man dan memang teringin untuk membawa watak seperti itu. 

“Saya menerima tawaran itu bukan kerana dari pengarah tersohor tetapi kerana saya jatuh hati pada watak yang ditawarkan Abang Mamat pada saya,” katanya. 

Menurutnya, walaupun menghadapi kesukaran dan tekanan untuk menghidupkan watak Aman Chai pada mulanya, Adam bersyukur kerana akhirnya dia dapat menyelami jiwa Aman Chai. 

“Abang Mamat berjaya mengeluarkan karakter ‘Adam’ yang sebelum ini orang kenali dari diri saya, dan melahirkan Aman Chai yang mempunyai jiwa memberontak, gemar berlawan. 

“Pada mulanya saya menghadapi kesukaran untuk mengadaptasikan watak Aman Chai seperti kemahuan Abang Mamat. Namun, setelah beberapa kali ditegur, dan diberi tunjuk ajar oleh guru lakonan, saya dapat rasakan dapat menghidupkan watak Aman Chai dari dalam diri saya,” katanya. 

Katanya, walaupun mendapat kecederaan kita melakukan babak pergaduhan namun dia berasa puas kerana akhirnya dapat mempamerkan sisi berbeza dari dalam dirinya. Malah dia tidak lagi ditonjolkan sebagai lelaki yang cute dan asyik digandingkan dengan perempuan cantik. 

“Selain kepuasan dapat berlakon dalam filem aksi, saya menganggap pengalaman saya berlakon di dalam filem ini sebagai ‘ilmu’ tambahan kerana saya juga teringin untuk mengarahkan filem aksi,” katanya yang mahu merahsiakan dahulu rancangannya untuk mengarah filem. 

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kariernya yang nampak sedikit tenggelam dengan kehadiran bintang-bintang baru, Adam pantas menafikan dan menganggap kariernya masih diterima baik oleh para peminatnya. 

“Itu penilaian dan pandangan orang yang tidak mengikuti perkembangan saya, tetapi saya masih mempunyai para peminat saya masih mengikuti perkembangan serta menjadi penyokong kuat saya untuk terus maju di dalam industri. 

“Malah mereka sentiasa mahu melihat saya di kaca TV dan mendengar suara saya. Jadi saya akan memastikan mempunyai dua atau tiga single terbaru agar para peminat tidak bosan dengan sebuah lagu sahaja. 

“Saya rasa bersyukur kerana setiap single yang dikeluarkan saban tahun diterima baik oleh semua golongan,” katanya yang akan keluar dengan album keempat selepas hari raya nanti. 

Apokalips mengisahkan tentang peradaban manusia yang hidup selepas Perang Nuklear meletus pada tahun 2047. 

Saki-baki manusia yang terselamat daripada perang itu hidup dalam keadaan kacau-bilau, hilang arah tujuan dan menjadi ganas. 

Pergolakan dua kumpulan utama, Klan Merah Putih yang diketuai oleh X dengan Razor menjadi semakin tegang apabila kedua-dua adik ketua klan iaitu Qi Qi dan Aman Chai bercinta. Percintaan itu menjadi sesuatu perkara yang ditegah kerana berlainan kumpulan. 

Filem yang menelan kos produksi sebanyak RM1.2 juta ini dibintangi Farid Kamil, Jehan Miskin, Peter Davis, Iqram Dinzly, Vasanth, Pekin, Pyan Habib, Zoey Tan, Miera Liyana dan ramai lagi.





credit thanx to:: Sinar Harian http://www.sinarharian.com.my/com/content/story8052949.asp

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez