Sunday, August 07, 2011

[ARTIKEL] Kongsi Kebahagiaan Bersama Anak Yatim

Akhbar Sisipan Pancaindera, Mingguan Malaysia
7 Ogos 2011
Oleh Amirah Amaly Syafaat
amirah.amaly@utusan.com.my

klik pada gambar untuk lihat lebih jelas

Antara isi sisipan akhbar :

1 RAMADAN 1432 mencatat kenangan manis buat sekumpulan 48 kanak-kanak dari Maahad Tahfiz Al-Quran dan anak-anak yatim dari Rumah Jagaan Al-Hidayah, Setapak Kuala Lumpur. Pada hari pertama bulan penuh keberkatan, mereka berkesempatan untuk berbuka puasa di Restoran Intai-Intai, Ampang Hulu Klang, Selangor.

Wajah keriangan menghiasi air muka setiap kanak-kanak tersebut yang begitu sabar menanti waktu berbuka puasa. Biarpun kali pertama menjejakkan kaki ke restoran berkenaan, mereka dilihat cukup menjaga tingkah laku di tempat baru.

Kesemua anak-anak itu lebih bersemangat tatkala melihat wajah juara Imam Muda musim pertama, Muhammad Asyraf Mohd. Ridzuan atau Asyraf, hadir pada majlis berkenaan. Kesempatan emas itu digunakan kanak-kanak itu untuk bersalam dan saling bertanya khabar. Gambaran diberikan ketika itu seperti semut mendatangi gula, Asyraf sentiasa dikerumuni setiap masa.

Masakan tidak, tazkirah pendek berkaitan keberkatan bulan Ramadhan yang diberikan Asyraf selepas mengimamkan solat Maghrib diamati penuh teliti oleh anak-anak tahfiz itu. Asyraf juga dilihat cukup mesra melayan kanak-kanak itu dan memberi nasihat berguna untuk panduan hidup di dunia dan akhirat.

Aliran agama menyatukan mereka untuk saling berkongsi apa sahaja pada 1 Ramadan yang jatuh pada 1 Ogos lalu. Selain Asyraf, artis lain yang turut memeriahkan majlis berbuka puasa tersebut adalah Que Haidar bersama isteri, Linda Jasmine dan anak mereka.

Adam dan Kumpulan V.I.P , Zain Saidin, Daus AF8, Syed Ali, Lena AF9 juga tidak melepaskan peluang tersebut. Acara diserikan dengan celoteh Roslan Shah yang bertindak sebagai pengacara. Mereka semua tak menang tangan melayan kerenah anak-anak kecil itu sewaktu beratur memilih juadah berbuka.

Keletihan seharian berpuasa tidak terasa apabila ia diisi dengan lawak jenaka dan sendaloka yang tidak putus daripada golongan artis. Majlis bertambah riuh di penghujung acara. Apabila artis yang terlibat memberikan sumbangan duit raya dan hamper dari pihak penaja termasuk dari Butik Citra Ampang Point dan Coway Malaysia sebelum acara ditutup pukul 9.45 malam.

Pemilik dan pengusaha Restoran Intai-Intai, Baha Azman Nor memberitahu bahawa acara berbuka puasa itu merupakan agenda tahunan di premisnya. “Saya menjemput semua artis berbuka puasa di Restoran Intai-Intai setiap tahun. Sesiapa yang ada kelapangan dialu-alukan. Tidak kiralah sama ada artis itu bujang atau berkeluarga,” katanya dalam perbualan baru-baru ini.

Bekas pengurus artis syarikat rakaman Maestro Talent and Management Sdn. Bhd. (Maestro) ini juga tidak lokek untuk berkongsi rezeki dengan mana-mana golongan yang memerlukan. Ditanya tentang keistimewaan Restoran Intai-Intai sepanjang bulan ini, Baha mengatakan pihaknya menawarkan pakej Nuansa Tradisi Ramadan 2011.

Pakej itu memperkenalkan 100 jenis hidangan berbuka berkonsepkan “Bangkok Hawker Food” dan masakan kampung dari Kelantan termasuk pembuka selera, goreng-gorengan dan kambing bakar. Pengunjung yang singgah berbuka puasa ke restoran ini pasti teruja dengan atmosfera Melayu dan hijauan pokok di tengah kota. Untuk tempahan, boleh hubungi Baha sendiri di talian 012-3005856 atau 017-2102243 (Bad).

No comments:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez