Friday, January 06, 2012

[ARTIKEL] Adam Memang Gempak! - Berita Harian

Adam memang gempak! - Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my 2012/01/06


Insiatif anjur persembahan sendiri dapat sambutan amat menggalakkan

LAGAKNYA tak ubah seperti Raja Pop dunia, Michael Jackson ketika tampil pada Adam X-Clusive Showcase.

Auranya juga mengingatkan kepada bintang ternama itu apabila peminat yang hadir menjerit-jerit sebaik melihat kelibat Adam yang tampil menerusi layar projektor. Gimik yang menjadi apabila susuk tubuh Adam kelihatan di atas pentas dalam suasana yang agak suram membuatkan peminatnya semakin mengila menjerit dengan laungan Adam..Adam..Adam!

Persembahan mini atau Showcase Adam yang dianjurkan Aico Empire Group adalah inisiatifnya sendiri untuk memberi penghargaan kepada peminat yang mula menyokong karier seninya sejak tujuh tahun yang lalu.

Dianggarkan 200 peminat kepada anak muda kelahiran Sabah ini mula berhimpun di hadapan The Actors Studio, Roof Top Lot 10 sejam lebih awal kerana dibimbangi tidak mendapat tempat yang strategik untuk menyaksikan showcase yang julung kali diadakan khas untuk mereka.

Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Matsaman bintang yang lahir dari program realiti pada 2004 memang memiliki kelebihan tersendiri berbanding penyanyi lain yang juga lahir dari program realiti.

Kelincahannya beraksi di atas pentas menyanyi sambil menari menjadi antara kelebihannya sehingga setiap persembahan yang dilakukan pasti mendapat tepukan dan sorakan daripada penonton.

Boleh dikatakan penonton yang hadir menyaksikan persembahan Adam mencapai kepuasan. Mana tidaknya dalam masa dua jam, penyanyi ini menyanyikan hampir 25 lagu, itu tidak termasuk lagu daripada beberapa penyanyi jemputannya seperti kumpulannya sendiri V.I.P dan Baby Shima.

“Showcase ini adalah tanda terima kasih yang tidak terhingga buat peminat khususnya yang masih setia menyokong kerjaya seni saya dalam industri ini. Saya memilih 25 lagu terbaik dari album Adam, Adam II, Adam III dan Adam 4 istimewa buat peminat.

“Dengan sambutan yang diberikan peminat pada showcase ini sudah tentu ia bukan menjadi showcase terakhir kerana saya merancang akan mengadakannya lagi pada tahun depan dan jika ada rezeki saya teringin mengadakan konsert pada skala yang lebih besar,” katanya.

Antara lagu hits yang dinyanyikan Adam seperti Tension, Seri Satu Sama, Sana Sini, Potret Lama, Tak Seiring Bibir, Ellena..Pergilah, Jika Tak Kerana Kami, Terpesona, Lagu Sedih (V.I.P), Hai, Robot, Joget Lambak Tak Tahu dan banyak lagi.

Lima lagu pertama yang dinyanyikan, Adam tampil dengan berjaket merah sambil diiringi empat penari. Selepas peluhnya mula membasahi seluruh tubuh dan pentas, Adam terpaksa membuka jaketnya, itupun menjadi modal kepada peminat untuk menjerit dengan melaungkan namanya.

Biarpun showcase yang dianjurkan pada skala yang agak kecil namun tetap menitikberatkan mutu bunyi dan sistem pencahayaan yang menarik dan menepati setiap lagu.

Sebagai bukti betapa dia menghargai peminatnya, Adam juga turut menyediakan sebakul kuntuman bunga Ros untuk diberikan kepada peminat ketika dia menyampaikan lagu Jika Tak Kerna Kamu. Lebih istimewa Adam turut memilih seorang peminat bertuah untuk tampil di pentas ketika dia sedang menyanyi.

Peminat itu diibaratkan sebagai gadis istimewanya yang begitu dikagumi dan dicintai. Sambil menyanyi Adam mengeluarkan sebentuk cincin dan menyarungkan ke jari peminat bertuah itu.

Ketika itu, bukannya gadis itu yang menjerit riang tetapi peminat di bawah yang tidak senang duduk melihat situasi romantik itu mula menjerit-jerit kerana cemburu.

Lagu Sedih yang kini semakin kerap dimainkan di setiap stesen radio tanah air tidak ketinggalan menjadi lagu yang dinanti-nantikan peminat. Pantang dihulurkan mikrofon, peminat tanpa segan silu turut menyanyi bersama seolah mereka sudah dikhayalkan oleh aura Adam.

Bezanya ketika Baby Shima menyanyi menerusi lagi Tak Sabar, tidak sampai separuh daripada mereka bersorak walaupun lagu itu rancak dan bertenaga.

Bukannya peminat tidak menghargai bakat yang dimiliki gadis yang lahir daripada Bintang Idola Berita Harian (BIBH) ini tetapi mereka lebih teruja kerana fokus mereka hadir ke showcase itu untuk berhibur bersama Adam.

Showcase yang berlanjutan lebih dua jam itu diakhiri dengan sesi fotografi Adam bersama peminatnya yang juga ahli Adam Fan Club Malaysia.

1 comment:

 
Original Template By : uniQue  |    Modified and Maintained By : Intydez